BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 15, 2009

Kelas Tahsinul Quran

Minggu ini bermulalah Kelas Tahsinul Quran yang diadakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut. Saya rasa amat teruja dan gembira yang amat sangat. Sudah lama saya tidak berguru dan ilmu-ilmu Al Quran yang saya ada bukan saja tidak bertambah, bahkan semakin berkurang. Jadi peluang ini saya anggap satu rahmat dari Allah. Kelas ini dikendalikan oleh Imam Nurunna'im bin Daud Al Hafiz, imam masjid tersebut. Kelas diadakan bermula jam 9 hingga 10.30 malam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Bilangan pelajar adalah dalam 40 orang termasuklah lelaki dan perempuan.

Kegembiraan saya berganda bila suami saya pun turut sama menyertai kelas tersebut. Malam tadi kami belajar bacaan 'Bismillahirrahmanirrahim' dan 'Alhamdulillahirabbil'alamin'. Ustaz Naim kata dia fokus pada bacaan Al Fatihah dulu sebelum pergi kepada pelajaran yang lain. Malam tadi juga Ustaz Naim bercerita tentang satu kisah menarik yang boleh kita teladani bersama.

Kata Ustaz, semasa beliau belajar di Kashmir, Pakistan beberapa tahun dulu, terdapat seorang lelaki tua yang baru hendak belajar al quran dan berulang alik ke tempat pengajiannya dengan menunggang basikal. Lelaki itu berusia 70 tahun, menunggang basikal sejauh 60 km setiap hari! Jalan di Pakistan pula bukanlah seperti di negara kita sebaliknya berbatu-batu dan bergunung-ganang. Kat bandar barulah jumpa jalan bertar. Setiap pagi lelaki ini bertolak dari rumah sebelum subuh, dan menunggang semula 60 km lagi balik ke kampungnya setelah selesai pengajiannya. Lelaki ini hanya tidur 1 jam sahaja setiap hari. Bayangkanlah dengan tenaga setua itu, dan basikal yg sudah tentu tidak secanggih basikal di negara itu berulang-alik setiap hari untuk belajar al-quran.

Lelaki itu hanya belajar 5 huruf setiap hari. Alhamdulillah, setelah 8 bulan lelaki tua itu telah dapat menguasai ilmu al quran, dan dalam tempoh 2 tahun lelaki itu akhirnya telah khatam al quran buat pertama kali. Seterusnya lelaki yang tekun dan sabar ini bercita-cita pula hendak menghafaz al quran. Akhirnya 2 tahun kemudian beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al quran.

Pada suatu hari, lelaki ini meminta gurunya menyemak bacaan al quran yang dihafaznya dalam tempoh sehari. Sebelum Subuh, beliau telah mula membaca al quran dan berhenti untuk menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian sambung lagi bacaan. Makanan dihantar ke tempat beliau membaca dan beliau hanya makan sedikit saja. Akhirnya menjelang Maghrib, beliau berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al quran tanpa sebarang kesalahan! Kemudian beliau menunaikan solat fardhu Maghrib.Lelaki ini meminta gurunya menghalalkan semua ilmu yang telah diajar padanya dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan guru dan keluarga gurunya.

Setelah selesai solat, lelaki tua itu telah muntah. Dari muntah tersebut, tahulah gurunya bahawa itu bukanlah muntah yang biasa. Tidak lama kemudian lelaki tua itupun dijemput Allah kembali ke pangkuanNya. Sampai di sini semua dalam kelas merasa meremang bulu roma. Subhanallah, Allahuakbar! Mulianya lelaki ini. Saat menyembahyangkan jenazahnya orang yang datang berziarah sangat ramai hingga mencecah ribuan orang. Orang yang datang itupun entah dari mana. Jenazahnya disembahyangkan sehingga 6 kali. Guru lelaki itu meminta jenazah itu tidak dibawa dengan kenderaan ke pusara, sebaliknya diusung oleh orang ramai.

Kata Ustaz Naim, sewaktu jenazah diusung, sekelompok awan memayungi jenazah sepanjang perjalanan dan hal ini turut disaksikan oleh orang ramai dan Ustaz Naim sendiri. Hujan renyai-renyai turut turun seolah-olah turut bersedih. Kata guru lelaki tua itu, bukan saja makhluk di dunia bersedih dengan pemergian lelaki itu, tetapi makhluk-makhluk lain juga. Wajah jenazah juga sungguh bersih dan cantik, lebih cantik daripada ketika arwah hidup.

Begitulah kemuliaan yang Allah beri kepada orang yang bersungguh-sungguh mendalami al quran. Dari usia 70 baru mengenali al quran sehingga menguasainya dan insyaAllah dapat menjadi ahli Syurga. Moral of the story ialah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara. Jangan malu atau rasa terlambat atau banyak halangan untuk belajar al quran. Kuatkan tekad dan azam. InsyaAllah kita akan dapat hikmah daripada Allah nanti. Saya juga memohon agar Allah menetapkan iman saya dan menjadikan saya sabar dan tekun mendalami ilmu al quran ini. Moga-moga juga Allah membuka pintu hati saya dan mempermudahkan segala urusan pengajian saya nanti. Amin.

Saturday, August 15, 2009

Siput Sedut Masak Rom

Salam sejahtera tuan2 dan puan2. Hari ini kita belajar kita belajar memasak pula. Maklumlah, kitakan akan menyambut bulan Ramadhan yang mulia beberapa hari lagi. Hari ini saya telah ke Pasar Malam Jerantut dan ternampaklah asam rom, maka kecurlah air liur mengingatkan betapa sedapnya masakan rom ni. Jadi saya belila se pot rom berharga RM2. Memandangkan ramai yang belum tahu resipi rom ini jadi sayapun ambillah peluang masukkan dalam blog ini. Lepas ni bolehlah puan2 mencubanya pula di rumah sendiri.

Sebelum bermula biar saya kenalkan puan2 dengan asam rom dulu. Namanya asam rom tapi ianya tidaklah masam sebaliknya enak macam kacang atau badam. Asam rom yang paling sedap diperbuat daripada biji getah. Selain dari itu ada juga rom yang diperbuat daripada biji buah perah. Biji2 getah dan perah ini akan ditumbuk separuh hancur dan kemudian ditapa (peram) untuk satu tempoh yang agak lama juga. Dinasihatkan kepada puan2 supaya tak payahlah susah-susah membuat rom sebaliknya bawa saja beberapa not kertas ke pasar dan selepas itu rom yang dikehendaki siap untuk dimasak. Peringatan juga, asam rom ini hanya boleh didapati di Jerantut saja, jadi kalau berhajat sila datang ke Jerantut atau buat pesanan...pastu kita buat perundingan mengenai kos rom dan kos penghantarannya pula, he he.

Ok, kita terus layan gambar untuk mempelajari cara-cara memasak siput sedut masak rom.

Sediakan siput sedut seperti gambar di atas. Potong dulu buntut siput tu, kalau tak susah pulak nak menyedut isinya nanti.Banyaknya terpulang kepada selera masing-masing, rasa nak makan banyak bubuhlah banyak2, rasa nak sikit bubuhlah sikit saja. Sebelum jadi orang Pahang, saya tak pernah jumpa siput sedut sungai macam ni. Masa dulu2 saya cuma tahu siput kecik yang bulat ditangkap di sawah padi kat kampung Tok Che saya di Kerandang, Besut,Trg. Cara masaknya pun masak lemak bubuh daun kaduk. Puan2 boleh guna siput apa-apa saja yang halal, sama ada siput sungai, sawah atau laut. Tolak siput babi ya...

Inilah asam rom buah perah. Dalam plastik lagi. Saya suka rom getah tapi dah habis, jadi rom perah ni pun okey juga. Orang-orang luar Pahang mesti heran, biji getah yang disifatkan memabukkan rupanya makanan tradisi yang enak di sini. Ada tanya," tak ada benda lain dah ke nak makan, tak mabuk ke?" Jawabnya, ramai dah makan...tak matipun. Kalau matipun bukan sebab rom getah tu. Sayapun heran gak dulu...tapi tak kenal maka tak cinta, dah kenal pantang jumpa! Sodap!

Bahan utama selain rom ialah lada kecik ni. Puan2 boleh juga guna lada cengek, lada burung, cabai melaka dan seumpamanya. Banyaknya juga bergantung pada lidah masing-masing...lebih pedas lebih terangkat! Lada kecikni ditumbuk lumat-lumat bersama kunyit hidup..saya pakai kunyit serbuk je sebab kunyit saya tak hidup lagi. Pastu masuk dalam periuk yang dah bubuh air dan siput yang dah dibersihkan. Masuk rom sekali, pastu terus masak atas dapur.

Dah gelegak masukkan rampai-rampainya pula. Saya bubuh pucuk paku, podok jagung (jagung muda), rebung dan terung manggo. Terpulang pada puan2 nak masuk sayur apa2 atau tak nak masuk langsungpun tak apa. Tapikan hidangan kita biarlah seimbang dan mengandungi semua zat yang diperlukan oleh tubuh.

Masukkan garam secukup rasa. Kalau suka masukkan sedikit gula atau msg. Cuma msg ni walaupun menambah sedap masakan tapi tak begitu bagus untuk kesihatan...jadi pikirlah sendiri.

Eh, dah siap la! Mudah, dan sedap. Untuk pengetahuan puan2 kita boleh gantikan siput sedut dengan ikan sungai lain. Kadangkadang ada juga masak rom sayur saja, sedap juga. Rom bukan saja digunakan dalam gulai tetapi boleh juga buat sambal rom tempek kat kuali dan digoreng tanpa minyak. Bagi orang yang tak pernah tak berselera macam saya ni semua masakan rom memang menyelerakan. Masakan siput ini dihidang dan dimakan bersama nasi, kalau rasa nak ratah begitu je, silakan. Ianya sama seperti gulai masam tempoyak, tak pakai bawang langsung! Selamat mencuba!

Thursday, August 6, 2009

7 Ogos 2009

Hari ini hari jadi adik saya Nazrah yang ke 33. Sekejap je dah 33 padahal rasa sangat baru lagi tengok dia pakai baju sekolah rendahnya... sekarang diapun dah jadi cikgu, dan dah ada 3 orang anak. Apa-apapun Selamat Ulang Tahun ke 33 Na. Semoga Na dan keluarga sentiasa dalam rahmat Allah. Moga-moga Na sentiasa ceria dan gembira selalu.

Hari ini juga hari jadi boss saya, Tn Haji Hamidon Abu Bakar. Pukul 10.00 pagi tadi ada perjumpaannya dengan guru-guru untuk persiapan akhir sebelum pemantauan PSS Cemerlang Peringkat Kebangsaan beberapa hari lagi. Sempena hari jadinya ke 53 ini beliau menjamu semua guru dengan nasi dagang yang sangat sedap. Beliau turut menghadiahkan guru-guru sebuah buku setiap seorang. Boss saya ni suka membaca, setiap tahun menjadi tradisinya menghadiahkan setiap guru dan staff sekolah dengan sebuah buku. Tahun lepas saya dapat buku 'Jangan Bersedih' karya Dr.'Aidh bin Abdullah Al-Qarni,manakala tahun ini saya dapat buku 'Pedoman dan Asas untuk Pemimpin Berwibawa' karya Ahmad Fazli Yusof & Amin Idris. Terima kasih tuan GB.


Ni yang GB tulis dalam buku tu. Tarikh birthday saya yang sebenar 15.5.1967. Tiba-tiba bertukar bulan dan tahun lahir... rasa mudalah pulak, he he.



..di harijadinya, GB sampaikan hadiah harijadi utk guru-guru dan staff sokongan sekolah.

Semasa perjumpaan tadi, GB memaklumkan sekolah kami telah berjaya mendapat Anugerah Sekolah Cemerlang 2009. Beliau dimaklumkan melalui panggilan telefon dari Putrajaya semalam. Penyampaian anugerah akan diadakan di KL pada 18.8.2009. Akhirnya penat lelah semua warga sekolah telahpun berbaloi dengan berita ini. Rasa hendak menitis air mata mengenangkan kami semua telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat anugerah ini. Sebenarnya kami dah dapat macam2 anugerah sebelum ini termasuklah johan 3K Kebangsaan pada 2006, Murid Cemerlang Kokurikulum Kebangsaan pada 2007 (Perempuan) dan 2008 (Lelaki), no 3 Sekolah Harapan Negara.Kami pun dapat Top 5 Anugerah Sekolah Lestari Peringkat Kebangsaan tahun lepas...dan macam-macam lagi. Sekarang ini kami semua sedang fokus kepada PSS Cemerlang Kebangsaan pula. UPSR pun dah semakin dekat.. doa-doakan kami berjaya lagi dalam semua bidang!

GB sedang memotong kek harijadi dan pulut semangat hadiah dari KGKT SKT.


Pagi tadi anak saya, Faiz menelefon dari PUO menyatakan dia sedang demam dan batuk. Risaunya rasa hati seorang ibu. Baru kejap tadi dia call bagitau doktor kata dia cuma demam biasa. Dapatla ubat batuk dan ubat demam. Harap demamnya tak berlarutan dan dijauhkan dari semua penyakit merbahaya.

P/s: saya dah tulis entry ni hari Jumaat lalu, kesibukan (kononnya) menyebabkan hari ni baru dapat post. Agak basi sikit..

Wednesday, August 5, 2009

Nisfu Syaaban

Nisfu dlm Bahasa Arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajalla telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."

Hari Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib)

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :


i. Memperbanyakkan puasa sunat.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”


ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

iii. Bertaubat

"Ya Allah, Keampunan Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan
Rahmat Mu adalah lebih utama daripada amalan-amalanku."

iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.


Sunday, August 2, 2009

Catatan Hujung Minggu

Jumaat 31 Julai 2009 baru-baru ini merupakan ulang tahun perkahwinan saya yang ke 20. Hmm...rasa baru lagi saya berkahwin, sedar tak sedar dah 20 tahun saya menjadi isteri. Hampir 2 dekad berumahtangga kami berdua telah mengharungi pelbagai asam garam kehidupan. Alhamdulillah, ini kehidupan kami sekarang, dari berdua kami telah jadi berenam & sekarang bertiga kerana 3 lagi permata hati kami sedang berjuang menuntut ilmu di rantau orang. Faiz di PUO, Atiqah di KMNS dan Aimi di BRaINS. Jika Idris dapat ke sek. berasrama 2011 nanti tinggallah kami berdua di Jerantut ini, insyaAllah.

Hari Jumaat itu juga saya dan Idris telah pulang ke Kampung Rahmat, Setiu. Kami pulang berdua saja kerana suami saya ada kelas ganti pada Sabtu 1 Ogos 2009. Jam 1 tghari kami bertolak dari Jerantut dengan menaiki kereta Kancil hijau kesayangan saya. Cuaca elok dan perjalanan kami agak lancar. Kami ikut jalan Jerangau-Jabor dan selamat sampai kira-kira jam 6.00 petang. Aimi yang balik bermalam di rumah emak saya melompat-lompat gembira menyambut kepulangan emak dan adiknya.

Keesokan harinya, saya, Aimi, Idris dan Aina (anak adik saya, Za) telah pergi ke Kedai Sari di Kg Buloh. (Kedai Sari ialah Pekan Sehari manakala Kg. Buloh tu Bandar Permaisuri, pusat pentadbiran daerah Setiu). Walaupun Kg.Buloh telah bertukar nama pada 1985, orang-orang tempatan tetap selesa dengan nama asalnya Kg.Buloh. Kedai Sari Kg.Buloh merupakan satu tempat yang sentiasa ingin saya pergi setiap kali balik bercuti di Setiu. Kedai Sari ni dah berubah lokasi beberapa kali, dari tapak asalnya di tebing Sungai Setiu..kemudian naik ke atas dekat stesen bas sampailah sekarang di atas jalan raya di tengah bandar Kg.Buloh ini.

Kedai Sari ini sungguh istimewa
. Ikan dan sayur-sayuran masih segar. Geram saya tengok ikan-ikan yang dijual nampak baru dan tak masuk dalam air batu pun! Hal ini sangat berbeza berbanding ikan di Jerantut ini yang kebanyakannya sakit mata dan sakit perut! Apa nak buat, jauh dari laut!Kerang yang dijual kat Kedai Sari ni pun besar-besar..sehingga 2 inci besarnya! Kerang inipun hasil laut tempatan iaitu dari Kg. Gong Batu dekat Kuala Setiu, pinggir Laut China Selatan. Mari kita tengok gambar barang-barang jualan di Kedai Sari tu pulak:


Ini buah mencupu. Buah mencupu masak berwarna merah jingga. Yang kat dalam gambar ni masih muda dan rasanya sangat masam. Selonggok mencupu berharga RM1 dan sesuai digunakan dalam masakan terutama singgang ikan aya.

Ini pula buah katak puru. Rasanya lemak-lemak masam dan sedap macam buah jambu. Aimi beli selonggok dan balik makan cicah dengan kicap dan gula.


Di sini kita akan jumpa dengan pelbagai jenis kuih muih tradisional yang susah nak jumpa kat tempat lain. Ada ketupat ubi kayu, belebab ubi, buah gomok, putu mayam+ serawa telur, asam gumpal dan lain-lain. Saya jadi rambang mata..kuih-kuih seperti karipap, donat, apam balik saya buat tak nampak je...


Ni pulak kato yg diperbuat dari tepung pulut, sebelahnya pula acar pisang benggala. Saya beli dua bungkus acar pisang tu, sedap!

Ini kuih kelongsong, dulu 10 sen sebiji. Sekarang 3 seringgit. Gambar atas dalam pinggan merah tu pula tepung bungkus yang dibungkus dalam daun pinang. Tepung bungkus tu benar-benar tepung yang dibungkus tapi sedih sebab ikut resepi asal tepung tu patut ada inti kelapa. Sekarang tepung bungkus ni dah dimodified menyebabkan inti kelapa hilang...
Jagung rebus gaul kelapa ni pula kegemaran emak saya. Carilah kat mana-mana pekan sari luar Terengganu tak akan jumpa jagung macam ni. Lepas shopping( kebanyakannya makanan/kuih muih) kamipun balik ke rumah. Saya turut beli jeruk sentul, nampak sedap je..


Inilah aktiviti Idris di kampung, tolong tuk siram pokok bunga dan picit betis tuk. Tengok, sampai terterap-terap!

Pukul 5.00 petang saya hantar Aimi balik ke asrama. Aimi merengek-rengek tak nak balik asrama sebab tak puas bermanja dengan emaknya.


Ni la Kancil yang banyak berjasa sedang parking kat depan asrama BRaINS. Yang baju merah tu sayala sedang tunggu Aimi angkut barang ke kamarnya. Kat dalam kereta tu emak saya yang ikut serta hantar cucu ke asrama.


Wajah anak yang sedang pilu.

Tiba masa untuk pulang. 2 Ogos 2009. Ini tanah tempat tumpah darah yang akan saya tinggalkan. Di bawah ini rumah yang menyimpan 1001 kenangan, tempat yang paling saya suka pergi setiap kali cuti sekolah tiba.



Pokok durian yang sedang berbuah. Isi durian ini sangat sedap, tebal dan berbiji kecil. Pokok durian ni ditanam di sebelah rumah emak, ditepi jalan besar K.Trg-K.Bharu.


Bunga kertas yang merimbun di hadapan rumah ini pasti akan sentiasa saya rindui selepas ini.


Perjalanan balik ikut jalan pantai. Banyak jalan sedang dinaik taraf, jadi banyak lah lencongan di sana sini. Abaikan tarikh pada gambar-gambar ini. Idris jadi juru gambar sepanjang perjalanan ini. Kami singgah di Pasar Batu Enam. Suka tengok makanan banyak kat sini.


Lihatlah kuih muih yang menimbun tu!


Buah sentul

Jeruk kateh, makanan istimewa orang Terengganu.


Pemandangan menarik pepohon ru sepanjang perjalanan.



Pemuda harapan bangsa. Gerombolan mat rempit yang memenuhi jalan di Lebuhraya Pantai Timur. Tak tahu nak kata apa apabila mat rempit ni memotong kereta dari kiri dan kanan, siap meniarap atas motor lagi. Tak sayang nyawa betul anak-anak bangsaku ini!



Sempat lagi memenuhi hajat Idris, mandi sungai di Kuala Sentul.


Ini durian yang saya bawa balik untuk suami dari kampung. Isi tebal tu!


Makan dengan berselera!

Saya sampai di Jerantut jam 6.30 petang. Dalam masa 3 hari kancil saya dah berjalan sejauh 937 kilometer! Meski penat, Idris tak lupa tetap pergi juga kelas taekwando malam tu. Pagi tadi baru dia merungut penat dan letih. Saya berdoa semoga Allah beri saya kekuatan dan kesihatan yang baik agar dapat buat perjalanan begini lagi pada masa akan datang meskipun cuma dengan sebuah kancil yang sudah tua, insyaAllah.

Monday, July 20, 2009

Perkhemahan Bersepadu SK Temin 2009

Pada 17-19 Julai baru-baru ini Unit Kokurikulum SK Temin telah mengadakan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform. Seramai 325 orang murid-murid tahap 2 telah menyertai perkhemahan ini. Perkhemahan ini bergabung dengan perkampungan UPSR yang melibatkan murid-murid tahun 6 yang sedang membuat persediaan menghadapi UPSR September nanti.

Saya selaku ketua pemimpin PPIM SK Temin telah ditugaskan sebagai AJK Aktiviti. Unit PPIM ditugaskan mengendalikan aktiviti ikatan dan simpulan bersama-sama Pengakap. Mari kita tengok gambar-gambar yang sempat saya rakam dengan telefon bimbit saya.

Ini suami saya dan adik ipar saya, Naiman yang tiba pada petang Jumaat dari Terengganu semasa perkhemahan baru bermula. Saya cuba masukkan gambar adik saya si Amiechomel..tapi tak tahu kenapa, tak berjaya. Naim sekeluarga dalam perjalanan ke Kg. Mengkarak, Bera bagi menghadiri kenduri menyambut menantu adiknya. Kalau nak tengok gambar dan maklumat kenduri tersebut sila lawati blog beliau.


Suasana tempat tidur murid-murid perempuan. Macam pusat pemindahan banjir je. Masa ni saya dan sahabat saya, Teacher Zalina Putih duk tengok je telatah murid-murid ni bila berkumpul ramai-ramai. Walaupun ada khemah didirikan di tapak perkhemahan, murid-murid tidur di dalam bangunan demi untuk keselamatan.

Malam Bakat. Peserta-peserta perkhemahan mempersembahkan bakat terpendam mereka. Tema persembahan adalah berasaskan perkhemahan. Pandai juga budak-budak ini melakonkan peristiwa-peristiwa yang mereka alami sepanjang perkhemahan berlangsung. Gambar ni gelap sikit, maklum pakai telefon je. Yang pakai baju hitam tu anak saya Idris yang pada akhir perkhemahan dinobatkan sebagai Peserta Paling Sporting. Persembahan kumpulan TKRS ini berjaya menjadi johan. Dapatlah hamper buah-buahan, seronok bukan main.

Barisan penonton yang kelihatan gembira dan ceria menyaksikan persembahan rakan-rakan mereka. Sambutan hangat mengalahkan rancangan realiti yang berlambak kat televisyen sekarang ni.

Antara aktiviti ikatan dan simpulan ialah membuat gajet. Tengok Idris, beria-ia mengikat gajet menggunakan teknik ikatan yang baru dipelajari.

Ni pulak ikhtiar hidup. Budak-budak ni belajar buat roti lilit. Tak sia-sia sebab diaorang pakat makan ramai-ramai walaupun roti yang mereka bakar tidak pasti masak sepenuhnya atau tidak. Alhamdulillah, selepas perkhemahan tamat tiada seorangpun peserta perkhemahan mengadu sakit perut atau kembung!

Ini acara lari berhalangan. Ada 8 halangan, tapi saya tak sempat nak ambik gambar semua halangan tersebut kerana kekangan tugas di tempat lain. Ada panjat sarang labah-labah, meniti titian berayun, melompat tayar, mendaki bukit, merangkak dibawah kawat berduri dan lain-lain.

Ahli PPIM yang lemah lembut pun boleh buat aktiviti lasak seperti ini. Murid ini sedang menuruni bukit curam menggunakan tali.

Nampak comel pulak Ustaz Kamarul Azmi. Penat la tu!

Peserta-peserta perkhemahan sedang mendengar taklimat dari pegawai bomba sebelum masuk ke dalam kolam untuk halangan seterusnya. Pihak bomba memberikan kerjasama yang sangat baik untuk aktiviti air ini.

Guru-guru pemimpin turut membantu murid-murid memakai jaket keselamatan. Masa ni dada budak-budak ni berdebar dup-dap dup-dap.

Wajah-wajah yang sedang teruja untuk masuk ke kolam. Lihat pakaian yang penuh dengan selut selepas merangkak bawah kawat berduri. Saya duk fikir-fikir, lepas ni kita patut panggil syarikat sabun untuk test sabun mereka, boleh tak selut ni hilang kalau celup gitu-gitu je...

Seronoknya mengapungkan diri dalam kolam! Fikiran relax dan lapang.
Pos istimewa dari Idris.

Selepas majlis penutup, sesi lelongan sedang diadakan. Budak-budak zaman sekarang bukan sayang harta benda, tinggal sana-sini. Dah dilelong pun masih ada barang-barang yang tidak dituntut. Ada banyak lagi gambar-gambar aktiviti perkhemahan tu tapi tak sempat nak upload lagi. Ada masa saya cuba post semula. Keseluruhannya aktiviti perkhemahan telah mencapai objektifnya hasil kerjasama semua warga SK Temin. Tahniah untuk semua.

Friday, July 17, 2009

Wajah Baru

Assalamualaikum untuk semua.

...nampaknya setelah berbulan-bulan tidak berblog, saya tampil kembali hari ini. Kata orang barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang tentu menangis. Rasa kasih pada blog lama masih bersisa, tapi kerana ada sedikit aral maka blog itu terhenti di situ.

Dan kini...patahkan tumbuh, hilang pasti berganti. Saya mengharapkan kedatangan blog baru ini akan memberikan lebih keceriaan pada saya dan semua orang di sekeliling saya.