Minggu ini bermulalah Kelas Tahsinul Quran yang diadakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut. Saya rasa amat teruja dan gembira yang amat sangat. Sudah lama saya tidak berguru dan ilmu-ilmu Al Quran yang saya ada bukan saja tidak bertambah, bahkan semakin berkurang. Jadi peluang ini saya anggap satu rahmat dari Allah. Kelas ini dikendalikan oleh Imam Nurunna'im bin Daud Al Hafiz, imam masjid tersebut. Kelas diadakan bermula jam 9 hingga 10.30 malam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Bilangan pelajar adalah dalam 40 orang termasuklah lelaki dan perempuan.
Kegembiraan saya berganda bila suami saya pun turut sama menyertai kelas tersebut. Malam tadi kami belajar bacaan 'Bismillahirrahmanirrahim' dan 'Alhamdulillahirabbil'alamin'. Ustaz Naim kata dia fokus pada bacaan Al Fatihah dulu sebelum pergi kepada pelajaran yang lain. Malam tadi juga Ustaz Naim bercerita tentang satu kisah menarik yang boleh kita teladani bersama.
Kata Ustaz, semasa beliau belajar di Kashmir, Pakistan beberapa tahun dulu, terdapat seorang lelaki tua yang baru hendak belajar al quran dan berulang alik ke tempat pengajiannya dengan menunggang basikal. Lelaki itu berusia 70 tahun, menunggang basikal sejauh 60 km setiap hari! Jalan di Pakistan pula bukanlah seperti di negara kita sebaliknya berbatu-batu dan bergunung-ganang. Kat bandar barulah jumpa jalan bertar. Setiap pagi lelaki ini bertolak dari rumah sebelum subuh, dan menunggang semula 60 km lagi balik ke kampungnya setelah selesai pengajiannya. Lelaki ini hanya tidur 1 jam sahaja setiap hari. Bayangkanlah dengan tenaga setua itu, dan basikal yg sudah tentu tidak secanggih basikal di negara itu berulang-alik setiap hari untuk belajar al-quran.
Lelaki itu hanya belajar 5 huruf setiap hari. Alhamdulillah, setelah 8 bulan lelaki tua itu telah dapat menguasai ilmu al quran, dan dalam tempoh 2 tahun lelaki itu akhirnya telah khatam al quran buat pertama kali. Seterusnya lelaki yang tekun dan sabar ini bercita-cita pula hendak menghafaz al quran. Akhirnya 2 tahun kemudian beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al quran.
Pada suatu hari, lelaki ini meminta gurunya menyemak bacaan al quran yang dihafaznya dalam tempoh sehari. Sebelum Subuh, beliau telah mula membaca al quran dan berhenti untuk menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian sambung lagi bacaan. Makanan dihantar ke tempat beliau membaca dan beliau hanya makan sedikit saja. Akhirnya menjelang Maghrib, beliau berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al quran tanpa sebarang kesalahan! Kemudian beliau menunaikan solat fardhu Maghrib.Lelaki ini meminta gurunya menghalalkan semua ilmu yang telah diajar padanya dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan guru dan keluarga gurunya.
Setelah selesai solat, lelaki tua itu telah muntah. Dari muntah tersebut, tahulah gurunya bahawa itu bukanlah muntah yang biasa. Tidak lama kemudian lelaki tua itupun dijemput Allah kembali ke pangkuanNya. Sampai di sini semua dalam kelas merasa meremang bulu roma. Subhanallah, Allahuakbar! Mulianya lelaki ini. Saat menyembahyangkan jenazahnya orang yang datang berziarah sangat ramai hingga mencecah ribuan orang. Orang yang datang itupun entah dari mana. Jenazahnya disembahyangkan sehingga 6 kali. Guru lelaki itu meminta jenazah itu tidak dibawa dengan kenderaan ke pusara, sebaliknya diusung oleh orang ramai.
Kata Ustaz Naim, sewaktu jenazah diusung, sekelompok awan memayungi jenazah sepanjang perjalanan dan hal ini turut disaksikan oleh orang ramai dan Ustaz Naim sendiri. Hujan renyai-renyai turut turun seolah-olah turut bersedih. Kata guru lelaki tua itu, bukan saja makhluk di dunia bersedih dengan pemergian lelaki itu, tetapi makhluk-makhluk lain juga. Wajah jenazah juga sungguh bersih dan cantik, lebih cantik daripada ketika arwah hidup.
Begitulah kemuliaan yang Allah beri kepada orang yang bersungguh-sungguh mendalami al quran. Dari usia 70 baru mengenali al quran sehingga menguasainya dan insyaAllah dapat menjadi ahli Syurga. Moral of the story ialah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara. Jangan malu atau rasa terlambat atau banyak halangan untuk belajar al quran. Kuatkan tekad dan azam. InsyaAllah kita akan dapat hikmah daripada Allah nanti. Saya juga memohon agar Allah menetapkan iman saya dan menjadikan saya sabar dan tekun mendalami ilmu al quran ini. Moga-moga juga Allah membuka pintu hati saya dan mempermudahkan segala urusan pengajian saya nanti. Amin.
Thursday, October 15, 2009
Kelas Tahsinul Quran
Posted by najmiah at 1:38 AM 1 comments
Saturday, August 15, 2009
Siput Sedut Masak Rom
Salam sejahtera tuan2 dan puan2. Hari ini kita belajar kita belajar memasak pula. Maklumlah, kitakan akan menyambut bulan Ramadhan yang mulia beberapa hari lagi. Hari ini saya telah ke Pasar Malam Jerantut dan ternampaklah asam rom, maka kecurlah air liur mengingatkan betapa sedapnya masakan rom ni. Jadi saya belila se pot rom berharga RM2. Memandangkan ramai yang belum tahu resipi rom ini jadi sayapun ambillah peluang masukkan dalam blog ini. Lepas ni bolehlah puan2 mencubanya pula di rumah sendiri.
Sebelum bermula biar saya kenalkan puan2 dengan asam rom dulu. Namanya asam rom tapi ianya tidaklah masam sebaliknya enak macam kacang atau badam. Asam rom yang paling sedap diperbuat daripada biji getah. Selain dari itu ada juga rom yang diperbuat daripada biji buah perah. Biji2 getah dan perah ini akan ditumbuk separuh hancur dan kemudian ditapa (peram) untuk satu tempoh yang agak lama juga. Dinasihatkan kepada puan2 supaya tak payahlah susah-susah membuat rom sebaliknya bawa saja beberapa not kertas ke pasar dan selepas itu rom yang dikehendaki siap untuk dimasak. Peringatan juga, asam rom ini hanya boleh didapati di Jerantut saja, jadi kalau berhajat sila datang ke Jerantut atau buat pesanan...pastu kita buat perundingan mengenai kos rom dan kos penghantarannya pula, he he.
Ok, kita terus layan gambar untuk mempelajari cara-cara memasak siput sedut masak rom.
Posted by najmiah at 4:22 AM 4 comments
Thursday, August 6, 2009
7 Ogos 2009
Hari ini juga hari jadi boss saya, Tn Haji Hamidon Abu Bakar. Pukul 10.00 pagi tadi ada perjumpaannya dengan guru-guru untuk persiapan akhir sebelum pemantauan PSS Cemerlang Peringkat Kebangsaan beberapa hari lagi. Sempena hari jadinya ke 53 ini beliau menjamu semua guru dengan nasi dagang yang sangat sedap. Beliau turut menghadiahkan guru-guru sebuah buku setiap seorang. Boss saya ni suka membaca, setiap tahun menjadi tradisinya menghadiahkan setiap guru dan staff sekolah dengan sebuah buku. Tahun lepas saya dapat buku 'Jangan Bersedih' karya Dr.'Aidh bin Abdullah Al-Qarni,manakala tahun ini saya dapat buku 'Pedoman dan Asas untuk Pemimpin Berwibawa' karya Ahmad Fazli Yusof & Amin Idris. Terima kasih tuan GB.

Ni yang GB tulis dalam buku tu. Tarikh birthday saya yang sebenar 15.5.1967. Tiba-tiba bertukar bulan dan tahun lahir... rasa mudalah pulak, he he.
Pagi tadi anak saya, Faiz menelefon dari PUO menyatakan dia sedang demam dan batuk. Risaunya rasa hati seorang ibu. Baru kejap tadi dia call bagitau doktor kata dia cuma demam biasa. Dapatla ubat batuk dan ubat demam. Harap demamnya tak berlarutan dan dijauhkan dari semua penyakit merbahaya.
P/s: saya dah tulis entry ni hari Jumaat lalu, kesibukan (kononnya) menyebabkan hari ni baru dapat post. Agak basi sikit..
Posted by najmiah at 10:29 PM 4 comments
Wednesday, August 5, 2009
Nisfu Syaaban
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajalla telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."
Hari Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib)
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
iii. Bertaubat
"Ya Allah, Keampunan Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku danRahmat Mu adalah lebih utama daripada amalan-amalanku."
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Posted by najmiah at 5:10 AM 0 comments
Sunday, August 2, 2009
Catatan Hujung Minggu
Hari Jumaat itu juga saya dan Idris telah pulang ke Kampung Rahmat, Setiu. Kami pulang berdua saja kerana suami saya ada kelas ganti pada Sabtu 1 Ogos 2009. Jam 1 tghari kami bertolak dari Jerantut dengan menaiki kereta Kancil hijau kesayangan saya. Cuaca elok dan perjalanan kami agak lancar. Kami ikut jalan Jerangau-Jabor dan selamat sampai kira-kira jam 6.00 petang. Aimi yang balik bermalam di rumah emak saya melompat-lompat gembira menyambut kepulangan emak dan adiknya.
Keesokan harinya, saya, Aimi, Idris dan Aina (anak adik saya, Za) telah pergi ke Kedai Sari di Kg Buloh. (Kedai Sari ialah Pekan Sehari manakala Kg. Buloh tu Bandar Permaisuri, pusat pentadbiran daerah Setiu). Walaupun Kg.Buloh telah bertukar nama pada 1985, orang-orang tempatan tetap selesa dengan nama asalnya Kg.Buloh. Kedai Sari Kg.Buloh merupakan satu tempat yang sentiasa ingin saya pergi setiap kali balik bercuti di Setiu. Kedai Sari ni dah berubah lokasi beberapa kali, dari tapak asalnya di tebing Sungai Setiu..kemudian naik ke atas dekat stesen bas sampailah sekarang di atas jalan raya di tengah bandar Kg.Buloh ini.
Kedai Sari ini sungguh istimewa. Ikan dan sayur-sayuran masih segar. Geram saya tengok ikan-ikan yang dijual nampak baru dan tak masuk dalam air batu pun! Hal ini sangat berbeza berbanding ikan di Jerantut ini yang kebanyakannya sakit mata dan sakit perut! Apa nak buat, jauh dari laut!Kerang yang dijual kat Kedai Sari ni pun besar-besar..sehingga 2 inci besarnya! Kerang inipun hasil laut tempatan iaitu dari Kg. Gong Batu dekat Kuala Setiu, pinggir Laut China Selatan. Mari kita tengok gambar barang-barang jualan di Kedai Sari tu pulak:

Ini buah mencupu. Buah mencupu masak berwarna merah jingga. Yang kat dalam gambar ni masih muda dan rasanya sangat masam. Selonggok mencupu berharga RM1 dan sesuai digunakan dalam masakan terutama singgang ikan aya.


Di sini kita akan jumpa dengan pelbagai jenis kuih muih tradisional yang susah nak jumpa kat tempat lain. Ada ketupat ubi kayu, belebab ubi, buah gomok, putu mayam+ serawa telur, asam gumpal dan lain-lain. Saya jadi rambang mata..kuih-kuih seperti karipap, donat, apam balik saya buat tak nampak je...

Ni pulak kato yg diperbuat dari tepung pulut, sebelahnya pula acar pisang benggala. Saya beli dua bungkus acar pisang tu, sedap!




Ni la Kancil yang banyak berjasa sedang parking kat depan asrama BRaINS. Yang baju merah tu sayala sedang tunggu Aimi angkut barang ke kamarnya. Kat dalam kereta tu emak saya yang ikut serta hantar cucu ke asrama.
Wajah anak yang sedang pilu.
Tiba masa untuk pulang. 2 Ogos 2009. Ini tanah tempat tumpah darah yang akan saya tinggalkan. Di bawah ini rumah yang menyimpan 1001 kenangan, tempat yang paling saya suka pergi setiap kali cuti sekolah tiba.


Bunga kertas yang merimbun di hadapan rumah ini pasti akan sentiasa saya rindui selepas ini.
Pemuda harapan bangsa. Gerombolan mat rempit yang memenuhi jalan di Lebuhraya Pantai Timur. Tak tahu nak kata apa apabila mat rempit ni memotong kereta dari kiri dan kanan, siap meniarap atas motor lagi. Tak sayang nyawa betul anak-anak bangsaku ini!
Saya sampai di Jerantut jam 6.30 petang. Dalam masa 3 hari kancil saya dah berjalan sejauh 937 kilometer! Meski penat, Idris tak lupa tetap pergi juga kelas taekwando malam tu. Pagi tadi baru dia merungut penat dan letih. Saya berdoa semoga Allah beri saya kekuatan dan kesihatan yang baik agar dapat buat perjalanan begini lagi pada masa akan datang meskipun cuma dengan sebuah kancil yang sudah tua, insyaAllah.
Posted by najmiah at 6:33 AM 0 comments
Monday, July 20, 2009
Perkhemahan Bersepadu SK Temin 2009
Saya selaku ketua pemimpin PPIM SK Temin telah ditugaskan sebagai AJK Aktiviti. Unit PPIM ditugaskan mengendalikan aktiviti ikatan dan simpulan bersama-sama Pengakap. Mari kita tengok gambar-gambar yang sempat saya rakam dengan telefon bimbit saya.















Posted by najmiah at 6:07 AM 3 comments
Friday, July 17, 2009
Wajah Baru
...nampaknya setelah berbulan-bulan tidak berblog, saya tampil kembali hari ini. Kata orang barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang tentu menangis. Rasa kasih pada blog lama masih bersisa, tapi kerana ada sedikit aral maka blog itu terhenti di situ.
Dan kini...patahkan tumbuh, hilang pasti berganti. Saya mengharapkan kedatangan blog baru ini akan memberikan lebih keceriaan pada saya dan semua orang di sekeliling saya.
Posted by najmiah at 9:02 AM 1 comments